Sunday, December 16, 2007

Kesantunan Masyarakat Malaysia

Masyarakat Malaysia terutama masyarakat Melayu memang terkenal dengan kesantunan mereka, adat resam yang membudaya dalam diri setiap individu. Anak-anak semenjak kecil sememangnya diajar tetang adab serta pekerti yang mulia. Seingat saya kita sering diingati supaya tidak menyakiti hati orang lain disamping perlu bercakap perkara yang benar walaupun ianya amat pedih untuk diterima.Namun setiap kita diajar untuk menyampaikan secara berhemah. Kita tidak diajar untuk kurang ajar.

Ucapan salam, terima kasih, maafkan saya, tumpang lalu sering menjadi halwa telinga saban hari. Sifat hormat kepada kedua ibubapa serta orang yang lebih tua daripada kita sentiasa tersemat dibenak kita.

Malangnya selepas zaman berlalu dan setelah 50 tahun kita merdeka, budaya dan amalan kita telah banyak berubah, seolah-olah ianya makin pupus seperti pupusnya haiwan-haiwan eksotik di muka bumi ini. Semakin sukar untuk kita mendengar ucapan keramat ’terima kasih’, ’maafkan saya’, ’tumpang lalu’ dan sebagainya. Yang menjadi semakin parah ialah masyarakat kita melalui budaya baru di mana ucapan-ucapan keramat itu dipaksa untuk diucapkan. Sehinggakan nilai ucapan itu sudah tiada lagi bila kita terlihat kempen-kempen budi bahasa. Sebagai contoh apa yang terlihat di pondok-pondok tol yang meminta pelanggan menghubungi nombor-nombor tertentu sekiranya kakitangan hadapan mereka tidak senyum atau mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan.

Apa yang terlintas di benak saya ialah, mengapa perkara ini berlaku di dalam masyarakat kita yang dulunya amat terkenal dengan tatasusila dan kesantunan yang tinggi.

Saya berharap anda sebagai rakyat Malaysia dapat membincangkan perkara ini di dalam blog ini untuk kita memahami punca kepada permaalhan ini serta ke manakah arah budaya Malaysia ini akan dibawa.